Pulau Labuan asalnya merupakan sebahagian dari Kesultanan Brunei. Pada 1846, ia diserahkan kepada British setelah British menggunakan pulau tidak berpenghuni itu sebagai tapak operasi menentang lanun. Kemudian pada 1890, ia digabungkan dengan Borneo Utara. Seterusnya pada 1963 ia bersama-sama Sabah bergabung ke dalam Malaysia.
Labuan dahulunya merupakan kawasan terpinggir dari arus pembangunan. Setelah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1984, kawasan penempatan majoriti orang Melayu (dari suku kaum Kedayan dan Brunei) serta minoriti kaum cina ini mula menjadi antara destinasi utama kepada pelabur asing untuk berurusniaga terutama sekali setelah Labuan diiktiraf sebagai Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa atau IOFC pada Oktober 1990.
Peninggalan sejarah zaman silam di Labuan menjadi tarikan pelancong seperti Taman Damai (Peace Park iaitu tempat Jepun menyerah kalah kepada British), kubur askar asing yang terkorban semasa berperang dengan tentera Jepun dan Taman Burung Eksotik.
Antara pejuang penentang penjajah di zaman pemerintahan tentera Jepun di Pulau Labuan ini adalah Jamidar Buyong . Beliau merupakan seorang Panglima Perang di dalam tentera British .Nama Beliau kemudiannya diambil sebagai nama sebuah jalan di Pulau Labuan sebagai memperingati sumbangan dan jasa dalam usaha membebaskan cengkaman penjajah.Mungkin generasi sekarang tidak ramai yang mengetahui nama di sebalik jalan tersebut, namun generasi / pewaris beliau masih menetap di Labuan hingga kini.[perlu petikan]
Selain peninggalan sejarah zaman silam, Labuan juga terkenal dengan aktiviti sukan laut peringkat antarabangsa seperti pertandingan memancing laut dalam, jet ski dan kayak mengelilingi pulau Labuan.
Labuan yang dahulunya didiami oleh nelayan, mula menjadi tumpuan para pelajar dari dalam dan luar labuan berikutan pembukaan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.
No comments:
Post a Comment